Wednesday, July 25, 2018

RUSUHAN ETNIK MEI 1969 DAN KERAJAAN DARURAT




RUSUHAN ETNIK MEI 1969 DAN KERAJAAN DARURAT

Pilihanraya Persekutuan pada tahun 1969 dipenuhi isu-isu sensitif mengenai pendidikan dan bahasa. Semenjak merdeka, Malaysia telah berhadapan dengan ancaman luaran dan dalaman yang telah meredakan tuntutan kelompok etnik demi perpaduan negara. Pada tahun 1969, faktor-faktor tersebut tidak wujud lagi. Setiap kelompok etnik melihat pilihanraya tahun itu sebagai peluang untuk mengekalkan kepentingan sendiri terhadap pencerobohan kelompok lain. Keputusan pilihanraya itu merupakan satu pukulan teruk kepada Parti Perikatan. Walaupun masih memegang majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat, jumlahnya telah jatuh merosot daripada 89 pada tahun 1964 kepada 66, dan jumlah undi merosot dari 58.4% pada tahun 1964 kepada 48.5% pada tahun 1969. Parti Gerakan, DAP dan PPP memenangi 25 kerusi, dan PAS memenangi 12 kerusi. Oleh itu, kerajaan Perikatan telah hilang majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat. Ini bermakna kerajaan tidak boleh lagi meminda Perlembagaan menurut sesuka hati (Leonard dan Barbara Andaya, 1983).

Pada 13 Mei, tiga hari sesudah pilihanraya, parti-parti pembangkang iaitu Gerakan dan DAP serta penyokong-penyokong mereka telah merayakan kemenangan mereka dengan bersorak di sepanjang jalanraya di Kuala Lumpur dan perkara ini membangkitkan kemarahan masyarakat Melayu (Malaysia Kita, 2002). Perarakan balas oleh para penyokong UMNO pada 13 Mei bertukar, menjadi keganasan yang sukar dikawal di seluruh Kuala Lumpur (Means, 1967). Keadaan darurat telah diisytiharkan di bawah artikel 150 dari Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan telah dibubarkan dan Malaysia diperintah oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, selama 18 bulan. Berikutan peristiwa tersebut, Tunku Abdul Rahman telah meletak jawatan sebagai pemimpin UMNO dan Perdana Menteri. Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih tugas mentadbir negara dan membina semula struktur pembangunan negara (Malaysia Kita, 2002). Keamanan dan ketenteraman hanya dapat dipulihkan setelah empat hari pertumpahan darah. Selama dua bulan sesudah rusuhan 13 Mei, kejadian-kejadian keganasan perkauman masih berterusan. Kerajaan akhirnya mengancam akan mengambil tindakan keras ke atas kumpulankumpulan militan Melayu, terutamanya mereka yang mendesak Tunku supaya meletak jawatan kerana amalan polisinya yang terlalu mengalah kepada kaum-kaum etnik yang lain.

Pimpinan Melayu dalam Perikatan menyalahkan pihak pembangkang kerana kecaman mereka yang lantang terhadap hak-hak istimewa orang Melayu yang menyebabkan orang Melayu bertindak ganas. Namun dakwaan ini dinafikan dengan kerasnya. Kerajaan telah memberi amaran sekiranya perbuatan melampau itu berterusan, sistem pemerintahan secara demokrasi berparlimen perlu diubah. Rusuhan 13 Mei itu menggambarkan betapa kuatnya kecurigaan antara golongan etnik. 

Untuk mewujudkan perpaduan dikalangan rakyat Malaysia yang pelbagai etnik, kerajaan darurat telah mengambil beberapa langkah. Pada Julai 1969, Jabatan Perpaduan Negara ditubuhkan untuk mencipta satu ideologi kebangsaan, disamping menyusun program sosial dan ekonomi yang baru. Pada 31 Ogos 1970, Hari Kemerdekaan Malaysia, ideologi baru yang dinamakan Rukunegara telah diisytiharkan dengan rasmi.

Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan untuk mengadakan garis-garis panduan yang positif dan praktikal bagi kerjasama antara kaum dan integrasi sosial untuk pembentukan satu keperibadian nasional Malaysia. Badan ini mengandungi wakil-wakil dari menteri, kerajaan-kerajaan negeri, parti-parti politik, Sabah, Sarawak, kumpulan-kumpulan agama, badan-badan professional, perkhidmatan awam, kesatuan sekerja, persatuan-persatuan majikan, pihak akhbar, guru-guru dan kumpulan minoriti. Majlis yang mewakili semua kelompok masyarakat boleh mencapai muafakat sebenar. Kerajaan memerintah secara muafakat dalam sebuah perhimpunan am secara demokrasi berparlimen, menurut corak barat. Melalui perbincangan-perbincangan yang telus, diharap dapat menyelesaikan masalah perpaduan antara kaum di Malaysia..