Silat kota sendeng warisan yang harus dipelihara
Oleh MOHD HAMZATUL AKMAR MD ZAKARIA
ASAHAN 11 Okt. - Seni silat kota sendeng mungkin agak asing dan jarang didengari oleh kebanyakan masyarakat umum negeri ini, namun seni silat tersebut telah mula diperkenalkan sekitar tahun 1960-an.
Diasaskan di Asahan oleh Tuan Guru Sidek Jantan, sedar atau tidak, sudah lebih 50 tahun seni silat kota sendeng telah menempa nama dalam arena seni persilatan negara.
Timbalan Menteri Pelancongan dan kebudayaan Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyifatkan seni silat kota sendeng merupakan antara cabang persilatan negara yang menjadi sebahagian daripada warisan negara, dan ia perlu dijaga bagi memastikan entiti seni silat tersebut terus mekar di kalangan generasi akan datang.
"Seni silat kota sendeng ini perlu diangkat sebagai antara warisan teragung dalam arena persilatan negara, dan segala jasa serta sumbangan mereka harus dimartabatkan selaku wira yang tidak didendang.
"Bagi memastikan seni warisan silat kota sendeng ini dapat dikekalkan, mereka haruslah mencurahkan ilmu silat ini kepada generasi muda yang dilihat sebagai penyambung kepada warisan silat kota sendeng,"katanya.
Mas Ermieyati berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Seni Silat Kota Sendeng (PSSKS) Melaka di Kem Majlis Sukan Negara (MSN) Saujana Asahan, di sini, petang Ahad lepas.
Hadir sama, Guru Utama PSSKS Melaka, Rahman Hamid.
Katanya, semua pihak harus melihat seni silat ini sebagai antara elemen warisan negara yang harus dijaga kerana ia juga merupakan sebahagian daripada serpihan sejarah negara.
Sementara itu, seramai 28 ahli PSSKS Melaka telah terima Selempang dalam pelbagai kategori seperti Selempang PSSKS Melaka, Lambang Bunga Padi, Cula MErah, Kehormat PSSKS Melaka, Serikandi Utama PSSKS Melaka dan Serikandi PSSKS Melaka.
end
No comments:
Post a Comment